
"SEBENARNYA TEKANAN ADALAH SESUATU YANG POSITIF KERANA TEKANAN MERUPAKAN PENCETUS KEPADA SETIAP KEJAYAAN."
Gagal ujian? Putus cinta? Bergaduh dengan rakan? Dimarahi ibu bapa? Terlalu dibebankan dengan kerja-kerja sekolah sehingga tiada masa hendak bersuka ria? Semua keadaan ini merujuk kepada situasi yang sukar dalam fasa kehidupan remaja. Dalam keadaan sebegini, pastinya tiada siapa yang mampu tersenyum. Sebaliknya reaksi yang spontan bagi sesiapa sahaja yang berhadapan keadaan rumit ini, "Aduh! Tensionnya aku!"
Tekanan atau dalam bahasa Inggerisnya sfress adalah lumrah bagi sesiapa sahaja. Apabila dilanda tekanan, tindak balas biasanya ditunjukkan pada wajah yang murung dan tubuh yang lesu longlai. Ketika ini, jiwa luluh lantak, masa depan tampak kelam gelap, dan akal seakan-akan berhenti berfungsi apabila diri terlalu kecewa dengan tekanan yang dialami.
Remaja lazimnya melihat tekanan sebagai suatu yang negatif. Tekanan dianggap sebagai penghalang kejayaan. Tekanan begitu dimusuhi kerana dikatakan boleh melemahkan semangat. Hal ini berlaku kerana kebanyakan remaja selalu mengimpikan alam kehidupan remaja mereka penuh ceria, tiada masalah, tiada duka, dan segala yang indah-indah belaka. Justeru, apabila dilanda tekanan, mereka cepat putus asa dan mudah mengalah sehingga ada yang mahu mati!
Sebenarnya, menghadapi tekanan adalah suatu perkara yang sangat normal bagi sesiapa jua. Malah sebenarnya tekanan adalah sesuatu yang positif kerana tekanan merupakan pencetus kepada setiap kejayaan. Tanyalah pada orang-orang yang berjaya, sama ada yang beroleh semua A dalam peperiksaan, yang berjaya menjadi jutawan, atau menjadi ahli sukan yang disegani, semua kejayaan mereka bertitik tolak daripada tekanan.

Tekanan itulah yang melonjak mereka untuk berusaha keras bagi mencapai kejayaan. Yang beroleh semua A dalam peperiksaan bukan kerana mereka dilahirkan bijaksana, yang kaya ternama hari ini asalnya mereka tidak punya apa-apa, dan tokoh sukan yang hebat semuanya bermula daripada titik kosong. Namun, mereka berjaya melihat tekanan sebagai lonjakan ke arah kejayaan.
Sebenarnya ada ramai lagi yang diterjah masalah yang lebih hebat. Cuma mungkin remaja yang lain itu punya daya ketahanan yang lebih kuat,bukan sekadar yang hanya tahu menangis dan menyalahkan orang lain. Jika remaja lain mengambil masalah mereka sebagai pemangkin ke arah kejayaan, sebaliknya remaja yang seorang ini melihat masalahnya begitu berat sehingga menutup mindanya kepada pintu penyelesaian.
"Dahulu memang rasa tertekan. Malah saya pernah anggap itu sebagai dugaan yang terbesar dalam hidup. Kemudian saya sedar, dugaan itu bukanlah apa-apa. Jika saya melihat dengan mata positif, saya akan nampak kejayaan di sebalik semua dugaan itu," demikian kata-kata seorang yang positif.
Seperkara yang saya pasti, orang yang berjaya adalah orang yang pernah diuji dan dia kuat berdepan ujian berkenaan. Junjungan Besar Rasulullah s.a.w. adalah orang yang paling kuat diuji dan 13 tahun perjuangan baginda menyebarkan Islam di Makkah, kurang membuahkan hasil. Malah baginda dicaci, dicemuh dan disakiti dengan pelbagai dugaan sehingga baginda membawa diri berhijrah ke Madinah.
Hasilnya terpancar jelas selepas itu. Islam yang disebarkan oleh Rasulullah muncul gah dan kemudian baginda bangga dapat kembali semula ke Makkah sekitar 10 tahun kemudian untuk berdepan dengan semua penentangnya sehingga berjaya menawan semula Makkah. Hal ini tentunya suatu kejayaan yang paling manis dan sehingga kini nama Rasulullah tercatat dalam senarai pertama 100 orang paling berpengaruh di dunia kerana kejayaan baginda membawa perubahan pada dunia.
Jika anda remaja mahu berjaya seperti ini, maka jangan takut berdepan dengan tekanan.
notakakiku1:Saya mahu jadi remaja yang berjaya dalam semua bidang,insyaALLAH...
notakakiku2:i'm in stress now....moga2 ada penyelesaian untuk semua ini..saya redha!!!!!!
notakaki3:sumber dari sini...thanks a lot..
0 comments:
Post a Comment